Penolong Rektor's Message

 Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

 

Segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW serta seluruh kaum keluarga baginda.

 

Pertamanya, saya ingin mengucapkan selamat datang ke Universiti Teknologi MARA Cawangan Sarawak, Kampus Mukah dan setinggi-tinggi tahniah kepada siswa dan siswi kerana telah terpilih melanjutkan pengajian ke universiti ini. Kehadiran saudara-saudari dalam kampus ini merupakan satu langkah baru dalam menempuh arus penyesuaian diri dengan suasana universiti yang jauh berbeza dari alam persekolahan. Bertemakan “Resort Campus”, adalah diharapkan suasana persekitaran yang dekat dengan alam semulajadi menjadikan siswa dan siswi baru dapat fokus dalam menggapai impian dan harapan ke dua ibu bapa. Manfaatkanlah segala peluang yang ada sebaik-baiknya di universiti ini demi kesejahteraan diri dan janganlah sesekali mensia-siakan ruang untuk menuntut ilmu yang telah anda miliki di sini. Saya berharap agar siswa dan siswi berusaha bersungguh-sungguh untuk menjadi insan cemerlang yang memiliki modal insan kelas pertama, seterusnya dapat menyumbang ke arah pembangunan dan perpaduan masyarakat, bangsa dan negara tercinta. Antara faktor yang menjamin ke arah perpaduan bangsa adalah mematuhi perlembagaan negara, kepimpinan yang berintegriti, amanah, adil, berwibawa, berwawasan dan dinamik, kemajuan ekonomi yang adil, kemajuan sosial yang mantap, politik yang matang dan bertanggungjawab, rakyat yang bersyukur, sistem keselamatan yang berwibawa dan sistem pentadbiran yang utuh. Justeru, mahasiswa seharusnya bijak menterjemah misi dan visi universiti ke arah meneruskan kelangsungan perpaduan bangsa. Sehubungan itu, bagi memastikan hasrat menjadikan mahasiswa yang progresif dan mencetus evolusi bangsa akan tercapai, mahasiswa perlulah menanamkan azam mengukuhkan jati diri tanpa dibolosi dengan unsur-unsur kemunduran dan kelesuan, mengasah tahap keilmuan dan kepelbagaian kemahiran tinggi untuk dibawa dalam arus dunia perdana masa kini, berpersonaliti unggul menerusi nilai-nilai positif seperti berkeyakinan tinggi, berwibawa, mampu bekerjasama dan bertoleransi serta mampu menguasai kemahiran insaniah. Selain itu, dalam menyelusuri arus perjuangan sebagai pemangkin pencetus evolusi bangsa, sewajarnya mahasiswa juga perlu bersedia menjunjung aspirasi negara, dan memainkan peranan bermakna dalam konteks sosial, ekonomi dan politik negara. Saya yakin bahawa mahasiswa mampu dan bijak dalam mengolah segala pengalaman, ilmu dan kemahiran untuk dikongsi bersama dengan masyarakat tanpa mengira kepelbagaian kaum dan agama khususnya serta menjadi penyuluh intektual di masa depan negara. Diharapkan saudara-saudari bukan sahaja tabah malah sedia menyahut cabaran dengan minda yang terbuka dalam menghadapi tempoh pengajian di UiTM Cawangan Sarawak ini. Akhir kata, semoga anda semua akan terus berusaha untuk berjaya dengan penuh tanggungjawab dan kesedaran memikul amanah diri, keluarga, bangsa dan negara.

 

Sekian, terima kasih.

 

 

 

Dr. Haji Saudi Bin Haji Narani

Penolong Rektor